Program Anugerah Istimewa MPHS 2026

Cheras, 15 Julai 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menganjurkan Program Anugerah Istimewa MPHS 2026 di Monkey Splash Zone, Cheras yang menghimpunkan seramai 120 orang, melibatkan pelajar OKU dan guru pengiring daripada 9 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Daerah Hulu Selangor, serta kakitangan MPHS bersama anak-anak istimewa mereka.
Program ini merupakan inisiatif tahunan MPHS dalam usaha menyantuni komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) melalui aktiviti riadah dan rekreasi. Penganjurannya bertujuan menyediakan ruang kepada para peserta untuk berinteraksi, meningkatkan keyakinan diri, menggalakkan pembelajaran tidak formal serta menikmati pengalaman rekreasi dalam suasana yang inklusif. Di samping itu, program ini turut memberi peluang kepada anak-anak istimewa dalam kalangan warga MPHS untuk bersama-sama menyertai aktiviti yang disediakan.
Turut hadir ialah Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah binti Jamaludin, bersama Ahli Majlis, Encik Eng Teck Ming dan Encik Fuad bin Ahmad Naravi, serta Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat MPHS, Puan Nurulhuda Ahmad binti Khairuddin, yang turut meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni para peserta sepanjang program berlangsung.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti riadah air dalam suasana yang selamat, ceria dan kondusif. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja memberi pengalaman rekreasi yang menyeronokkan, malah menggalakkan interaksi sosial serta membantu membina keyakinan diri dalam kalangan peserta.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua PPDK, guru-guru pengiring, ibu bapa, warga MPHS serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan Program Anugerah Istimewa MPHS 2026. Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha memperkukuh kesejahteraan serta pembangunan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di Daerah Hulu Selangor.
 
 
 

QUICK LINKS

AGENCIES LINK

All rights reserved. © 2026 Hulu Selangor Municipal Council.

Hulu Selangor Municipal Council (HSMC),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Monday - Friday : 8:00am - 5:00pm

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Latest Update : Monday 27 July 2026, 02:49:29.
Total Visitors :
01318285