Program Publisiti Awal Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK)

PROGRAM PUBLISITI AWAL KAJIAN RANCANGAN KAWASAN KHAS RANGKAIAN EKOLOGI CENTRAL FOREST SPINE B-SL1 (HS RAJA MUSA - HS BUKIT TAREK - HS GADING)

BUKIT BERUNTUNG, 18 Ogos 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menganjurkan Program Publisiti Awal Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Rangkaian Ekologi Central Forest Spine B-SL1 (HS Raja Musa – HS Bukit Tarek – HS Gading) bagi mendapatkan pandangan, maklum balas dan input daripada agensi kerajaan, pihak berkepentingan, pemegang taruh serta komuniti setempat dalam membantu menentukan hala tuju kajian.
Kajian RKK ini dilaksanakan secara kerjasama melibatkan Pejabat Projek Zon Tengah (PPZT), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan kini berada pada peringkat Publisiti Awal. Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Di dalam ucapan perasmian, YBrs. TYDP memaklumkan pelaksanaan program ini adalah selaras dengan keperluan Seksyen 12A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] bagi memastikan pandangan serta kepentingan pelbagai pihak diambil kira dalam proses penyediaan RKK. Beliau juga memaklumkan RKK yang disediakan bukan sekadar sebuah dokumen perancangan, sebaliknya merupakan pelan tindakan khusus (action plan) yang akan menggariskan strategi dan tindakan secara terperinci bagi memajukan, memulihara, memperelok serta mengurus kawasan kajian secara mampan dan teratur.
Untuk rekod Central Forest Spine (CFS) merupakan rangkaian ekologi yang menghubungkan kompleks-kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia serta memainkan peranan penting dalam pemeliharaan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS). Bagi Negeri Selangor, rangkaian yang dikenal pasti melibatkan CFS S2: SL3 – Hutan Simpan Kekal (HSK) Raja Musa, HSK Bukit Tarek dan HSK Gading.
Rangkaian ini mempunyai kepentingan strategik bukan sahaja dari aspek pemeliharaan hutan, biodiversiti dan keseimbangan ekologi, malah berperanan sebagai penghubung ekologi antara kawasan hutan di sebelah barat Semenanjung Malaysia dengan kompleks hutan utama di Banjaran Titiwangsa.
Melalui kajian ini, MPHS berharap satu kerangka perancangan dan tindakan yang komprehensif dapat dibentuk bagi memastikan kelestarian rangkaian ekologi CFS terus dipelihara, di samping mengambil kira keperluan pembangunan dan kepentingan masyarakat setempat.

 

QUICK LINKS

AGENCIES LINK

All rights reserved. © 2026 Hulu Selangor Municipal Council.

Hulu Selangor Municipal Council (HSMC),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Monday - Friday : 8:00am - 5:00pm

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Latest Update : Thursday 20 August 2026, 07:08:09.
Total Visitors :
01345223