Info Hulu Selangor

Daerah Hulu Selangor (dahulu dieja Ulu Selangor) merupakan salah sebuah daerah yang terletak di utara Negeri Selangor. Dari sudut geografi, Daerah Hulu Selangor terletak di utara Lembah Klang dengan keluasan 174,047 hektar, hampir sama keluasan dengan Negeri Melaka. Jumlah penduduknya lebih kurang 178,500 orang (2005) atau 3.7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Negeri Selangor dan kini semakin meningkat sejajar dengan pembangunan semasa.

Daerah Hulu Selangor juga merupakan daerah yang terbesar daripada sembilan buah daerah di Negeri Selangor. Ia bersempadan dengan Negeri Perak di utara dan Negeri Pahang di sebelah timur. Daerah yang pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai The Sleeping Hollow serta terletak di kawasan terpinggir dari limpahan kemajuan negara, kini telah mengorak langkah dengan menggiatkan pembangunan dan kemajuan di semua bidang selaras dengan visi Negeri Selangor ke arah Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera.

Pada masa kini, Daerah Hulu Selangor mampu berbangga dengan wujudnya pelbagai projek mega seperti kawasan Otomobil Nasional Kedua atau Perodua, kawasan perindustrian, perumahan , pelancongan, Bandar moden di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Sungai Buaya, Serendah, Batang Kali dan Lembah Beringin di Kerling. Pembinaan interchange lebuh raya PLUS di Bukit Beruntung dan di Lembah Beringin menambahkan lagi kerancakan pembangunan kawasan ini.

Sungai Selangor dahulunya merupakan alat perhubungan utama yang menghubungkan Bukit Fraser bersempadanan dengan Negeri Pahang hingga ke Kuala Selangor dan Sungai-sungai lain seperti Sungai Serendah, Sungai Batang Kali, Sungai Liam, Sungai Inki, Sungai Kerling dan Sungai Bernam. Kawasan kaki Banjaran Titiwangsa ini kaya dengan bukit-bukau yang menghijau dan telah menarik tumpuan industri pelancongan serta penubuhan institusi pendidikan di daerah ini.

Selain rangkaian lebuh raya utara selatan PLUS dan jalan raya utama Persekutuan Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, terdapat juga Rangkaian jalan negeri seperti jalan Hulu Yam ke Sungai Tua, Batang Kali ke Genting Highlands, Sungai Tengi ke Batang Berjuntai dan Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser. Semuanya merupakan pintu masuk ke Daerah Hulu Selangor yang Menjadi Pemangkin ke arah pembangunan yang lebih pesat lagi.

Daerah Hulu Selangor mula wujud semasa permulaan pemerintahan Inggeris di Kuala Kubu Bharu iaitu pada 12 Mei 1883, selepas Sembilan tahun campur tangan British di Negeri Selangor.

Pada zaman British, Pentadbiran Daerah Hulu Selangor dikenali sebagai Collector and Magistrate of Ulu Selangor dan antara penjawatnya ialah Cecil Ranking dan Mac Carthy iaitu semasa Frank Sweettenham menjadi Residen British di Selangor. Pada mulanya pentadbiran daerah terletak di Kuala Kubu ( lama ) yang kini dikenali dengan namaAmpang Pecah. Pemindahan ke tempat pentadbiran yang baru pada 1 September 1930 seperti yang terdapat pada masa kini adalah kerana kawasan bandar lama tersebut terletak di kawasan yang rendah dan sering berlaku kejadian banjir besar

Sumber : Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia ( JUPEM )

Daerah ini mempunyai 13 buah mukim iaitu:

Bil Mukim Keluasan (Hektar) Keluasan (Ekar)
1 Hulu Bernam (Utara dan Selatan) 44,680 11,0405
2 Kalumpang 4,144 10,240
3 Kuala Kalumpang 3,885 9,599
4 Sungai Gumut 4,144 10,240
5 Sungai Tinggi 16,006 39,550
6 Kerling 17,534 43,326
7 Ampang Pecah 4,143 10,237
8 Buloh Telur 2,589 6,397
9 Pertak 20,383 50,366
10 Rasa 8,262 20,416
11 Batang Kali 16,265 40,191
12 Hulu Yam 11,111 27,456
13 Serendah 12,901 51,647
Jumlah 174,047 430,070


Sumber : Pejabat Daerah & Tanah Hulu Selangor, 2007

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2024 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my

  • Kemaskini Terkini : Khamis 23 Mei 2024, 06:44:06.
Jumlah Pelawat :
00755043

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd

I-TEGUR

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015