KONVENSYEN INTEGRITI NASIONAL 2026 DAN PELANCARAN BUKU KEPIMPINAN SULTAN SELANGOR
5 NOVEMBER 2026 | SHAH ALAM
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor telah berkenan menyempurnakan perasmian Konvensyen Integriti Nasional (KIN) 2026 serta melancarkan buku bertajuk “Kepimpinan Sultan Selangor dalam Integriti, Tatakelola dan Kesejahteraan Negeri: Daulat Tuanku”.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor telah berkenan menyempurnakan perasmian Konvensyen Integriti Nasional (KIN) 2026 serta melancarkan buku bertajuk “Kepimpinan Sultan Selangor dalam Integriti, Tatakelola dan Kesejahteraan Negeri: Daulat Tuanku”.
Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor; YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), ketua-ketua jabatan serta wakil jabatan Persekutuan dan Negeri.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah diwakili oleh Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS, bersama Encik Abdullah Shahrul bin Rosli, Ketua Unit Integriti MPHS, bagi menyertai konvensyen yang menghimpunkan pemimpin dan warga kerja pelbagai sektor dalam usaha memperkukuh agenda integriti negara.
Antara pengisian utama konvensyen ialah sesi forum bertemakan “Integriti Bermula dari Rumah: Memupuk Nilai ke Arah Masyarakat Sejahtera” yang membincangkan kepentingan penerapan dan pembudayaan nilai-nilai integriti bermula daripada institusi keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat yang beretika dan bertanggungjawab.
Konvensyen turut diteruskan dengan sesi breakout menerusi empat kluster utama, iaitu Pendidikan; Ekonomi; Sains, Teknologi dan Inovasi; serta Belia. Sesi ini menjadi platform perbincangan bagi mengenal pasti cabaran, berkongsi pandangan dan merangka pendekatan strategik dalam memperkukuh amalan integriti mengikut keperluan setiap sektor.
KIN 2026 diakhiri dengan pembentangan resolusi sebagai manifestasi komitmen bersama dalam memperkukuh budaya integriti serta membentuk masyarakat yang beretika, bertanggungjawab dan sejahtera.
Penyertaan MPHS dalam konvensyen ini diharap dapat memperkukuh iltizam kepimpinan dan warga kerja organisasi untuk terus membudayakan nilai integriti, amanah dan akauntabiliti dalam setiap aspek pelaksanaan tugas.
Sesungguhnya, integriti bukan sekadar prinsip yang dipegang, tetapi merupakan asas kepada kepimpinan berwibawa, tadbir urus yang baik serta penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Integriti Diperkasa, Amanah Terpelihara, Kepercayaan Rakyat Terbina.
















