Program Sarapan Percuma Tabung Endowmen MPHS Terus Santuni Murid Prasekolah
Kuala Kubu Bharu, 10 Julai 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) meneruskan komitmennya dalam memperkukuh kebajikan komuniti melalui pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) Tabung Endowmen MPHS yang kali ini berlangsung di Prasekolah JAIS SRA Kuala Kubu Bharu.
Sebanyak 72 pek sarapan telah disampaikan kepada murid-murid sebagai usaha memastikan mereka memperoleh pemakanan yang baik sebelum memulakan sesi pembelajaran, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Program ini telah dihadiri oleh Setiausaha MPHS, Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Ahli Majlis Zon 9, Puan Saripah binti Bakar, serta Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Norazif bin Ahmad Tamsis, yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama murid-murid dan warga sekolah.
MPHS menzahirkan rasa syukur serta penghargaan kepada semua penyumbang Tabung Endowmen MPHS yang sentiasa memberi kepercayaan dan sokongan terhadap pelaksanaan program-program kebajikan. Keprihatinan yang ditunjukkan menjadi pemangkin kepada usaha MPHS dalam memperluaskan manfaat kepada lebih ramai pelajar di seluruh Hulu Selangor.
Marilah kita bersama-sama menyemarakkan budaya memberi dengan menyumbang ke Tabung Endowmen MPHS. Setiap ringgit yang disumbangkan bukan sekadar menyediakan sarapan kepada anak-anak, malah menjadi pelaburan berharga dalam membentuk generasi yang sihat, berilmu dan berdaya saing.
"Kongsi Rezeki, Cipta Harapan, Bina Masa Depan."
















