Sesi Audit Pelaporan Karbon di bawah Program Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C) Tahun 2026
Kuala Kubu Bharu, 21 Oktober 2026 - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menerima kunjungan daripada Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) bagi pelaksanaan Sesi Audit Pelaporan Karbon di bawah Program Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C) Tahun 2026.
Sesi pembukaan audit telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Setiausaha merangkap Timbalan Yang Dipertua MPHS. Turut hadir TPr Gs. Azlina binti Mokhtar, Pengarah Jabatan Perancang Bandar, barisan penyelaras yang terdiri daripada Ikon Hijau MPHS serta wakil Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu selaku rakan kongsi MPHS dalam menjayakan inisiatif bandar rendah karbon.
Pasukan audit MGTC terdiri daripada empat (4) orang pegawai yang diketuai oleh Encik Muhd. Fendi bin Mustafa, Pengurus Kanan, MGTC selaku Ketua Auditor, bersama Puan Norfarhana binti Mohd Yusoff, Encik Mohd Khairul Ainol bin Jamal dan Puan Wan Nur Azwani binti Mohamad Masri.
Sesi audit ini bertujuan untuk menilai, menyemak dan mengesahkan data pelaporan karbon bagi tahun penilaian 2025, di samping memastikan pelaksanaan inisiatif rendah karbon direkodkan secara sistematik, tepat dan menyeluruh.
Bagi tahun 2026, MPHS telah mengemukakan 10 penyertaan, merangkumi tiga (3) kategori zon sedia ada, lima (5) kategori rakan kongsi sedia ada serta dua (2) penyertaan baharu melibatkan kategori zon dan rakan kongsi iaitu :
1. Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Hulu Selangor
2. Stadium MPHS
3. Bangunan Bengkel MPHS
4. Pusat Informasi Pelancongan (TIC), Kuala Kubu Bharu
5. Pusat Perkembangan Latihan Inovasi (PPLI) MPHS
6. Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu
7. Zon Bandar Kuala Kubu Bharu
8. Zon Kawasan Perindustrian Kenanga–Jasmine, Bukit Beruntung
9. Zon Kawasan Institusi Pendidikan Milenium Kuala Kubu Bharu
10. Zon Kawasan Perindustrian Zurah, Rasa
Pelaksanaan audit ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MPHS dalam memperkukuh pengurusan data karbon, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta memperluas penglibatan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, industri dan komuniti dalam menjayakan agenda kelestarian bandar.
MPHS terus komited memperkasakan agenda Bandar Rendah Karbon melalui kerjasama strategik bersama MGTC dan rakan kongsi ke arah menjadikan Hulu Selangor sebuah perbandaran yang lebih hijau, berdaya tahan dan mampan menjelang tahun 2030.
















