SESI PERBINCANGAN BERKAITAN PELAKSANAAN KERJASAMA PENGAUDITAN ANTARA AUDIT DALAM SELANGOR DAN AUDIT DALAM KPKT
PUTRAJAYA, 18 Ogos 2026 – Bahagian Audit Dalam, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Bahagian Audit Dalam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membincangkan hala tuju serta perancangan pelaksanaan kerjasama antara Bahagian Audit Dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor dengan Bahagian Audit Dalam KPKT dalam bidang pengauditan.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada cadangan pembangunan Garis Panduan Pengauditan Projek yang dibiayai melalui peruntukan KPKT, yang dicadangkan untuk dijadikan panduan dalam pelaksanaan pengauditan projek di PBT.
Delegasi Bahagian Audit Dalam MPHS terdiri daripada Encik Samsul Kamal bin Abd Aziz, Ketua Bahagian Audit Dalam; Puan Siti Aziera binti Johari, Pembantu Juruaudit; dan Puan Maisarah binti Azmir, Pembantu Tadbir.
Delegasi MPHS telah disambut oleh Encik Muhammad Firdaus bin Omar, Timbalan Ketua Audit Dalam 1, Unit Audit Dalam KPKT. Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak telah membincangkan perancangan dan pendekatan yang bersesuaian bagi melaksanakan kerjasama dalam penyediaan Garis Panduan Pengauditan Projek yang dibiayai melalui peruntukan KPKT untuk digunakan sebagai rujukan oleh PBT.
Perbincangan ini merupakan langkah awal dalam usaha memperkukuh kerjasama antara Bahagian Audit Dalam PBT di Negeri Selangor dengan Bahagian Audit Dalam KPKT, khususnya dalam meningkatkan keseragaman, keberkesanan dan kualiti pelaksanaan audit terhadap projek yang dibiayai melalui peruntukan KPKT.
















