MPHS TERIMA PENGHARGAAN SEMPENA MAJLIS SANJUNGAN BUDI SUKMA XXII DAN PARA SUKMA SELANGOR 2026
SHAH ALAM, 30 Oktober 2026 – Majlis Sanjungan Budi sempena penganjuran SUKMA XXII dan PARA SUKMA Selangor 2026 telah berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan, komitmen serta kerjasama dalam menjayakan temasya sukan berprestij tersebut.
Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor dan turut dihadiri oleh YB Tuan Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor.
Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada 70 pihak yang terdiri daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), penaja serta jawatankuasa pelaksana sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan masing-masing sepanjang penganjuran temasya berkenaan.
Dalam menjayakan temasya ini, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) turut memainkan peranan penting apabila diberi tanggungjawab sebagai PBT bagi sukan angkat Taekwondo serta penyediaan venue bagi acara Bola Sepak Wanita. Penglibatan ini mencerminkan komitmen MPHS dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat negeri serta memastikan kelancaran penganjuran temasya berkenaan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS dan Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Timbalan Yang Dipertua MPHS bersama barisan kepimpinan MPHS, wakil agensi serta tetamu jemputan.
Penganjuran Majlis Sanjungan Budi ini menjadi manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri Selangor terhadap semangat kesepakatan, kerjasama dan dedikasi semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan SUKMA XXII dan PARA SUKMA Selangor 2026.
MPHS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor serta semua pihak yang telah memberikan kepercayaan dan kerjasama dalam menjayakan temasya sukan ini.
MPHS – Bersama Membina Komuniti Sejahtera.
















