MPHS TERIMA ANUGERAH KHAS PBT INKLUSIF PADA MAJLIS ANUGERAH INKLUSIF OKU SELANGOR 2026
KLANG, 21 Okt – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) diiktiraf atas komitmen dan usaha berterusan memperkasakan kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) di Daerah Hulu Selangor apabila menerima Anugerah Khas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Inklusif OKU Selangor.
Anugerah berkenaan disampaikan sempena Majlis Anugerah Inklusif OKU Selangor 2026 yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.
Hadir menerima penghargaan dan menyaksikan majlis tersebut ialah Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah Jamaluddin.
Dato’ Menteri Besar Selangor dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa kemajuan negeri yang inklusif perlu merangkumi serta dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat OKU.
Menurut beliau, bakat, kemahiran, dan aspirasi golongan berkenaan wajar disokong dengan persekitaran yang menyediakan peluang serta akses yang adil bagi membolehkan mereka mengembangkan potensi diri secara menyeluruh.
Majlis bertemakan “Mengiktiraf Potensi, Memperkasa Inklusiviti” itu dianjurkan secara bersama oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS), dan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS).
















