PERHIMPUNAN BULANAN MPHS OKTOBER 2026
KUALA KUBU BHARU, 21 OKTOBER 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengadakan Perhimpunan Bulanan Oktober 2026 bertempat di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, pada jam 2.30 petang. Program anjuran Jabatan Landskap MPHS ini mengangkat tema Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Majlis telah dihadiri oleh Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah binti Jamaluddin, A.M.S. Antara pengisian utama ialah ceramah Kesejahteraan Mental yang disampaikan oleh Encik Luqman bin Mohd Yusop, Pegawai Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam serta gimik solidariti kesihatan mental.
Dalam amanatnya, Yang Dipertua MPHS menekankan kepentingan menjaga kesihatan mental sebagai sebahagian daripada kesejahteraan diri, keluarga dan persekitaran kerja. Beliau turut mengingatkan warga kerja agar mengamalkan sikap empati, mengelakkan stigma serta menghormati privasi individu yang berhadapan dengan cabaran kesihatan mental. Persekitaran kerja yang sihat, komunikasi terbuka dan keseimbangan antara kehidupan dengan pekerjaan juga perlu diberikan perhatian.
Beliau turut menegaskan kepentingan tadbir urus yang baik, integriti dan penyampaian perkhidmatan yang cekap. Setiap warga kerja MPHS perlu mematuhi peraturan, mengurus aset serta kewangan dengan berhemah dan memastikan setiap aduan masyarakat ditangani secara profesional.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Jabatan Landskap MPHS, Encik Mohd Fadhil bin Mohd Lani, turut berkongsi kepentingan landskap dalam menyokong kesejahteraan mental masyarakat serta pencapaian projek Outdoor Museum Dataran Warisan Kuala Kubu Bharu yang menerima pengiktirafan Honour Award dalam Malaysia Landscape Architecture Award ke-16 (MLAA16).
Selain itu, Yang Dipertua turut merakamkan penghargaan atas pencapaian MPHS memperoleh Penarafan Lima Bintang dan tempat kedua kategori perbandaran dalam Anugerah Penarafan Bintang PBT 2026. Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif dan pencapaian Majlis, antaranya penyerahan Dewan Serendah Makmur kepada penduduk pada 4 Oktober 2026, pelaksanaan Program KOZEDES “Perkasa Komuniti Perangi Aedes” di Pangsapuri Sri Bakawali, Bukit Sentosa serta penganjuran Explorace Hulu Selangor: Eco Discovery 2026 di Dataran Warisan, Kuala Kubu Bharu.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Sijil SPB-PBT, sumbangan sempena sambutan Deepavali dan sesi Aku Janji Pelantikan Kakitangan Baharu.
Semoga program ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental, memperkukuh semangat kebersamaan serta menyemai budaya kerja yang positif dalam kalangan warga MPHS. Pencapaian yang diraih diharapkan menjadi pemangkin kepada warga kerja untuk terus memberikan perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan mengutamakan kesejahteraan masyarakat.
MPHS – Bersama Membina Komuniti Sejahtera.
















