Operasi Menembak Gagak Siri 1/2026

OPERASI MENEMBAK GAGAK SIRI 1/2026: MPHS LAKSANAKAN TINDAKAN KAWALAN POPULASI HAIWAN PEROSAK
HULU SELANGOR, 28 Jun 2026 – Operasi Menembak Gagak Siri 1/2026 yang dianjurkan oleh Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KESKOM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah berjaya dilaksanakan dengan sebanyak 2,139 ekor burung gagak berjaya dikawal di sekitar kawasan Hulu Selangor. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua MPHS, YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, dan berlangsung sepanjang hari bermula jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam dengan penyertaan seramai 13 orang penembak berlesen yang sah. Sebelum operasi dimulakan, taklimat keselamatan berkaitan penggunaan senjata api telah disampaikan oleh Kpl Muhamad Hafezy bin Abd Hamid dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor bagi memastikan semua peserta mematuhi aspek keselamatan, tatacara penggunaan senjata serta prosedur operasi yang ditetapkan.
Objektif utama operasi ini adalah untuk memastikan populasi burung gagak yang dikategorikan sebagai haiwan perosak dan kacau ganggu berada pada tahap yang terkawal. Peningkatan populasi burung gagak boleh menimbulkan pelbagai isu seperti gangguan bunyi, pencemaran persekitaran, kerosakan terhadap tanaman serta harta benda, selain berpotensi meningkatkan risiko penyebaran penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti.
Antara faktor utama peningkatan populasi burung gagak adalah disebabkan oleh pengurusan sisa makanan yang kurang berkesan serta amalan pembuangan sampah secara tidak terkawal. Sisa makanan yang terdedah menjadi sumber makanan yang mudah diperoleh, sekali gus menarik kehadiran burung gagak dan menyumbang kepada pertambahan populasinya. Sehubungan itu, MPHS menyeru masyarakat agar mengamalkan pengurusan sisa yang betul dengan menggunakan tong sampah bertutup, memastikan pembuangan sampah dilakukan secara teratur serta mengelakkan pembuangan sampah merata-rata.
Pelaksanaan operasi ini selaras dengan komitmen MPHS dalam menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG) khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, serta SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab. MPHS akan terus memperkukuhkan usaha kawalan populasi haiwan perosak melalui operasi berkala, kempen kesedaran dan program pendidikan komuniti bagi memastikan persekitaran Hulu Selangor kekal bersih, selamat dan lestari demi kesejahteraan bersama.
 

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2026 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Kemaskini Terkini : Jumaat 10 Julai 2026, 09:50:16.
Jumlah Pelawat :
01292467

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd
PBTPay

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015