PROGRAM MAJLIS PENUTUP SUKAN ANTARA JABATAN (SAJ) ANJURAN KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN, MAJLIS PERBANDARAN HULU SELANGOR.
Kuala Kubu Bharu, 15 September 2026 – Program Majlis Penutup Sukan Antara Jabatan (SAJ) anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah berjaya dilaksanakan bertempat di Dataran Warisan, Kuala Kubu Bharu.
Program ini merupakan salah satu platform bagi menghargai usaha, komitmen dan kerjasama seluruh warga kerja yang telah memberikan sokongan secara berterusan dalam menjayakan pelbagai aktiviti sukan yang dianjurkan.
Majlis penutup tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya Larian Santai sejauh 3 kilometer, pertandingan hiasan khemah rumah sukan serta penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Kemuncak kemeriahan turut diserikan dengan persembahan bunga api serta persembahan artis Chombi dan Apak Khalifah.
Sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang telah bersama-sama memberikan komitmen sepanjang pelaksanaan program, turut diadakan cabutan hadiah misteri yang menambahkan lagi kemeriahan majlis.
Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS.
Turut hadir menjayakan program ialah YAD. Raja Dato' Muzaffar bin Raja Redzwa, Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Encik Khairul Anuar bin Khalid, Yang Dipertua Kelab Sukan dan Kebajikan, barisan Ahli-Ahli Majlis serta pengarah / Ketua jabatan / bahagian MPHS.
Penganjuran program ini jelas memperlihatkan semangat kesukanan, kolaborasi dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan warga kerja MPHS. Selain menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti seperti ini turut menjadi medium dalam memperkukuh hubungan silaturahim, semangat berpasukan dan kerjasama antara jabatan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor atas bantuan pelaksanaan kawalan lalu lintas jalan raya di Pekan Kuala Kubu Bharu, semua jabatan dan bahagian di MPHS yang telah menyediakan kemudahan dari segi peralatan, teknikal, logistik, pembersihan, jamuan makan serta kawalan keselamatan sepanjang program ini berlangsung. Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada urus setia yang telah memberikan kerjasama serta komitmen dalam memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.
















